Pierre, Fasha bercumbu
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Aksi romantis dalam babak filem 9 September dilakukan menerusi teknik khas kamera, bukan sebenar
JIKA Ogy Datuk Ahmad Daud kelihatan sepadan bergandingan dengan Azmil Mustapha dalam filem Ali Setan, Erra pula nampak serasi dengan Awie menerusi Sembilu, Pierre Andre pula mahu gandingannya buat pertama kali dengan Fasha Sandha dalam filem 9 September akan mengembalikan nostalgia filem Melayu dulu.
Pierre akui selesa bergandingan dengan Fasha. Namun keserasian itu hanya dalam filem, tiada kaitan langsung dengan kehidupan peribadi mereka. Anak bujang pelakon Khatijah Tan itu beranggapan dunia filem perlu ada pasangan pelakon yang serasi setiap kali digandingkan berdua.
Ketika menjalani penggambaran 9 September di Pulau Pangkor tidak lama dulu, kedua-dua mereka dikatakan terjerat dalam cinta lokasi. Sama ada Pierre mahupun Fasha, kedua-duanya menafikan ada menyimpan perasaan.
Kata Fasha yang ditemui pada majlis tamat penggambaran filem 9 September baru-baru ini, dia tidak pernah berasa hati apabila ada pihak mengaitkan mereka berdua.
“Saya tidak pernah berasa kecil hati dengan tuduhan yang orang buat. Saya memang rapat dengan dia tetapi hanyalah sebagai sahabat. Cuma saya kagum, walaupun dia masih muda tetapi saya rasa Pierre seorang yang sangat berbakat dan dia juga seorang lelaki yang baik,” kata Fasha yang memegang watak Nia seorang gadis yang berperwatakan kasar dan ganas.
9 September filem ke-22 terbitan Metrowealth Movies Production mengetengahkan kisah cinta komedi romantik antara Nia dan Kogi lakonan Pierre. Nia dan Kogi bertemu apabila Nia tersalah masuk ke rumah Kogi, sejak dari itu banyak kebetulan menyebabkan mereka sering bertemu.
Kogi sering dibuli Nia, namun dia sentiasa menunjukkan sikap seorang lelaki sejati. Dia terlalu mengambil berat pada Nia dan lama kelamaan cinta mula berputik di hati mereka.
Menceritakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjalani penggambaran 9 September, babak bercium dalam pawagam adalah paling sukar dilakukan. Babak berkenaan terpaksa dibuat sehingga lima kali kerana setiap kali melakonkan babak berkenaan, mereka berdua pasti akan ketawa.
Babak romantis keterlaluan itu dijangka boleh mencetuskan kontroversi apabila filem itu ditayangkan kelak. Atau, mungkin ia bakal dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF). Bagaimanapun, Fasha berharap tidak ada pihak membesarkan babak mereka bercium kerana ia dilakukan dengan bantuan kamera, bukan dilakukan mereka sendiri.
Karakter Nia pula kata Fasha amat berbeza dengan karakternya. Nia di dalam 9 September digambarkan sebagai seorang yang kasar, dia perlu bercakap dengan kasar dan bersikap ganas. Selain itu, watak Nia juga memerlukan dia banyak memukul Kogi. Walaupun Fasha sedar ramai peminatnya yang tidak suka dia memegang watak sedemikian tetapi baginya pelakon yang baik harus melakonkan semua jenis watak.
“Untuk menjadi seorang pelakon yang baik, saya perlu mencuba. Saya kena buat semua, kalau asyik pegang watak baik itu bukanlah pelakon namanya. Dalam filem ini saya kena bercakap kasar, kena pukul orang selalu dan saya sendiri pun kena pukul dengan Pierre tapi saya seronok.
“Lagipun ini bukanlah pertama kali peminat melihat saya berlakon watak antagonis. Sudah banyak kali pun antaranya Sanggar Saadah, tidak lama lagi Evolusi KL Drift dan Anak Halal. Saya tidak pernah puas dengan apa yang saya buat, saya rasa banyak lagi benda yang perlu dipelajari,” katanya yang juga tidak kisah berlakon di bawah arahan pengarah baru kerana mereka mempunyai idea yang segar.
Bagi Pierre pula, peluang yang diberikan David Teo tidak harus dipersia-siakan. Ketika David menyatakan persetujuannya untuk memberikan peluang kepadanya untuk mengarahkan filem itu dia agak takut.
“Mula-mula saya sendiri tertanya kenapa dia percaya pada saya. Takut juga, tetapi bila difikir-fikir kembali kenapa tidak saya buat sesuatu yang boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak. Skrip filem ini saya sudah simpan tiga tahun lalu dan saya banyak mendapatkan nasihat daripada Ahmad Idham.
“Berlakon dan mengarah tidaklah sukar, disebabkan saya yang tulis skrip. Saya tahu skrip setiap pelakon dan ia memudahkan saya untuk tentukan shot apa hendak diambil. Terlebih dulu saya akan beritahu penolong pengarah apa shot mahukan, melakukan tiga kerja dalam satu masa tidaklah susah,” katanya yang pada mulanya memilih tajuk 9 Akhir, selepas berbincang dengan David, ia ditukar kepada 9 September.
Angka mempunyai makna tersirat, kata Pierre, kerana ia melambangkan jodoh, pertemuan dan kematian menyebabkan dia memilih angka sebagai tajuknya. Katanya lagi, orang akan mudah menerima filem ini kerana jalan ceritanya mudah dan tidak mengetengahkan komedi slapstik.
Selain Pierre dan Fasha, filem yang dianggarkan mencecah RM 1.2 juta ini turut membariskan Fahrin Ahmad, Shamsul Ghau Ghau, Zami Ismail, Osman Kering dan ramai lagi.