Finalis MyStarz, LG mulakan saingan
KUALA LUMPUR: Selepas peringkat saringan, buat pertama kalinya wajah 12 finalis program realiti terbaru, MyStarz, LG dapat disaksikan dalam episod pengenalannya yang disiarkan menerusi TV3, esok.
Siaran bermula jam 6 petang itu bakal mencipta daya tarikan baru berkaitan program realiti televisyen yang mencungkil bakat penyanyi secara solo.
Dua belas finalis itu itu ialah Hamiza Tasyha Bashir, 20, (Kuala Lumpur); Mimie Aishah, 18, (Kuala Lumpur); Rubisa Tiasin@Mimie, 20, (Kota Kinabalu); Rachel Wesley, 14, (Kota Kinabalu); Shaza Marina Azmi, 23, (Johor Bahru); Ahmad Aliff Afif Tirmizie, 21, (Kuala Lumpur); Russel Curtis, 26, (Kuala Lumpur); Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri, 12, (Kuantan); Badri Ibrahim, 28, (Kuala Lumpur); Andy Adrian (25 thn, Kota Kinabalu); Khairul Hizam Kaha (32 thn, Kuching) dan Awang Jasmin Jaimin (26, Kota Kinabalu).
Semua nama finalis MyStarz, LG diumumkan pada satu majlis khas di Hotel Seri Pacific, di sini, kelmarin.
Pengetua MyStarz, LG, Farihin Abdul Fattah, berkata mereka terpilih itu adalah daripada 24 peserta yang berjaya melepasi pusingan saringan pada 8 Jun lalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan akan bersaing di peringkat akhir selama 12 minggu.
"Ini adalah pengalaman pertama saya dalam program seperti ini di mana saya adalah salah seorang yang memilih peserta sejak pada peringkat uji bakat lagi. Memang sukar untuk memilih 12 finalis ini. Semua peserta yang berjaya hingga tahap top 50 memang berbakat,ata Farihin.
Katanya, semua finalis akan mengikuti pembelajaran muzik di 'LG House' di mana mereka akan dilatih oleh sekumpulan pemuzik.
Selain Farihin, MyStarz membariskan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik manakala pemuzik iringan pula akan dikendalikan mereka yang cukup berpengalaman seperti Andy Peterson, Nan Salleh, Steve Thornton dan pemain drum, Luke Mason.
Program ini akan dihoskan Daphne Iking dan Naz Habibur Rahman.
Format undian khidmat pesanan ringkas (SMS) juga digunakan menerusi program ini. Bagaimanapun, hanya 40 peratus undian dikutip daripada SMS manakala 60 peratus lagi berdasarkan penilaian juri profesional.
Pemenang MyStarz, LG berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah televisyen LCD berukuran 42 inci dan membuat album dengan label rekod antarabangsa. Rancangan Mystarz, LG akan disiarkan di TV3 selama satu jam setiap Ahad dari jam 6 petang. Ini diikuti program di sebalik tabir, `Uncut' yang akan disiarkan NTV7 dari jam 7 petang, pada hari sama.
Bagaimanapun, siaran konsert pertamanya hanya akan disiarkan selepas episod ketiga apabila program mengenai semua peserta, juri dan konsep program sudah disiarkan. Siaran keputusan konsert akan diumumkan setengah jam setiap Jumaat, dari jam 6.30 petang, manakala diari harian disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, selama dua minit bermula 7.28 petang.