Natasha Hudson sah bertunang
KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan model terkenal, Natasha Liana Hudson, mengesahkan sudah bertunang dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Shahrin Zahari, 26, dalam satu majlis ringkas awal tahun ini.
“Ya...saya sudah bertunang dengan Datuk Shahrin Zahari dalam satu majlis tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat. Antara sebab saya memilihnya sebagai bakal suami ialah dia seorang yang bersikap kelelakian, bertanggungjawab, mempunyai ciri-ciri pelindung dan penyokong setia kerjaya seni saya,” kata Natasha, 24 tahun.
Bagaimanapun, beliau menafikan berita di internet yang mendakwa mereka akan berkahwin pada 7 Julai dan 4 Ogos depan.
Ditanya bila mereka akan berkahwin, Natasha berkata ia belum difikirkan lagi.
Pelakon utama filem Chermin itu ditemui pada majlis pelancaran buku puisi Si Pari-Pari dan My Heart My Soul My Passion tulisannya terbitan Midmodal Industries, di Central Market Annexe, di sini malam tadi.
Natasha pernah bernikah dengan seorang ahli perniagaan pada 6 Mei tahun lalu tetapi hanya bertahan lima bulan.