Demi Muallaf
Oleh Zainuri Misfar | Zaharin Hayon
Sharifah Amani sedia hadapi kritikan kerana botakkan kepala
MEMANG pelik melihat perempuan mencukur kepalanya sehingga licin, tetapi itulah harga satu pengorbanan yang dilakukan Sharifah Amani Syed Zainal Rashid bagi memastikan lakonannya dalam filem Muallaf benar-benar meninggalkan kesan mendalam.
Pelakon yang pernah merangkul Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) pada tahun 2006 itu, turut mengakui berasa aneh dan janggal apabila kepalanya dilicinkan.
Selain itu, Nani tidak menafikan kecut perut juga apabila pisau cukur ‘bergerak-gerak’ dan bimbang kalau pisau yang tajam itu boleh melukakan kepalanya.
“Saya berasa pelik apabila pisau cukur berada di kepala, kemudian hati saya bertanya berulang kali pada diri sendiri, ‘apa yang aku buat ni’.
“Saya pejamkan mata sepanjang rambut dicukur, tapi saya dapat rasakan gumpalan rambut yang jatuh. Mula-mula tak rasa apa-apa, tetapi lama-kelamaan, saya tak sedar menitiskan air mata, sedih sangat sebab rambut kena cukur,” katanya yang mesra dengan panggilan Nani.
Sebaik saja rambutnya dicukur, Nani dipeluk dan ditenteramkan oleh krew dan adiknya, Sharifah Alesya. Seorang krew filem Muallaf memberitahu, Nani menangis apabila melihat kepalanya botak. Agak lama juga pelakon ini mengambil masa untuk tenang, sebelum berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan penggambaran membabitkan babaknya.
Dalam filem Muallaf, ada babak rambut Nani dicukur dengan kasar sehingga luka oleh bapanya yang garang (dilakonkan oleh Datuk Rahim Razali) kerana terlalu marah dengan tingkah laku anaknya yang agak liar dan ‘tidak boleh diajar’. Tindakan itu memberi kesan trauma yang sangat mendalam kepada Rohani.
Beberapa jam sebelum kepalanya digondolkan, Sharifah Amani atau mesra dengan panggilan Nani riang berbual dengan wartawan yang datang dari Kuala Lumpur ke Ipoh selepas dimaklumkan oleh pengarah filem ini, Yasmin Ahmad mengenai adegan penting dan menarik dalam filem Muallaf.
Namun dia cuba mengawal keresahan dengan senyuman apabila detik membuang rambutnya semakin hampir.
Nani dicukur di tingkat atas sebuah banglo yang sederhana besar di tengah Bandaraya Ipoh. Sudah lebih seminggu filem ini menjalani penggambaran di Ipoh. Wartawan dan jurugambar tidak dibenarkan melihat dan mengambil gambar Nani dicukur rambutnya hingga licin.
Bahkan, Yasmin sendiri seolah-olah tidak sanggup melihat kepala Nani dibotakkan apabila beliau berlegar-legar di tingkat bawah banglo sambil berbual dengan krew dan wartawan.
Bagaimanapun, kesedihan Nani selepas kepalanya dibotakkan memberi kelebihan kepada dirinya apabila dia masuk dalam set untuk melakonkan babak menyayat hati. Dalam babak itu, Nani yang memegang watak Rohani bersolat dengan adiknya, Rohana (Sharifah Alesya).
Sebaik selesai solat, Rohana perlahan-lahan membuka telekung dan anak telekung yang dipakai oleh Rohani. Rohana sangat sedih melihat kepalanya dicukur dengan kasar oleh bapa mereka sehingga luka dan berdarah. Muka Rohani berkerut kesakitan kerana kesan luka di kepalanya itu melekat pada anak telekung.
Kedua-duanya kemudian menangis dan berpelukan. Apa yang pasti, mereka memang menangis sebab menghayati watak masing-masing. Namun, pada masa sama, Nani menangis kerana kepalanya botak, dan Alesya pula menangis sebab ‘kasihan’ dengan kakaknya yang terpaksa botak.
“Rasa ringan. Tapi sebenarnya selepas ini saya tak tahu macam mana hendak keluar menghadapi orang ramai. Mungkin kena pakai ‘bandana’ atau biar dengan keadaan macam ini saja (botak),” katanya yang ditemui selepas menghabiskan babaknya dalam filem itu.
Mengulas lanjut mengenai kesanggupannya berkepala gondol, Nani menjelaskan, dia melakukannya bukan dijadikan satu fesyen, tetapi untuk memenuhi skrip filem itu.
“Ini bukan gimik. Banyak lagi yang saya boleh buat kalau hendak cari gimik, bukan dengan botakkan kepala.
“Saya buat kerana ada keperluan. Saya perlu melakukan sesuatu yang selangkah ke hadapan dalam lakonan. Bagi tujuan itu, saya kena cuba benda yang baru. Apa yang saya buat sekarang bukan satu gaya terbaru,” jelasnya.
Kata Nani, dia memberi persetujuan secara spontan saja apabila Yasmin bertanya sama ada sanggup membotakkan kepalanya.
“Ini tidak ada paksaan. Apabila Cik Min (Yasmin Ahmad) tanya saya kena botakkan kepala, saya terus jawab setuju. Tapi selepas itu, baru saya sedar dengan keputusan saya buat. Saya tanya kepada Cik Min lagi, ‘Eh! biar betul’,” katanya lagi.
“Saya tidak menyesal. Ya, apa yang saya buat ini berbaloi walaupun babak saya berkepala botak hanya dua minit saja,” sambungnya lagi.
Nani juga mengakui dia sudah bersedia menghadapi apa saja pandangan daripada orang ramai mengenai tindakannya membotakkan kepala.
“Selama ini pun, saya menerima pelbagai kritikan, pandangan dan cakap-cakap yang tidak menyenangkan daripada orang ramai.
“Kita tidak boleh halang apa orang nak fikirkan pasal diri kita, sebab setiap orang boleh membuat bermacam-macam pandangan. Apa yang boleh saya buat kalau orang hendak cakap bukan-bukan pasal saya,” tegasnya.
Profil Sharifah Amani
Nama Penuh: Sharifah Amani Syed Zainal Rashid
Nama Panggilan: Nani
Tarikh Lahir: 10 Jun 1986
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Filem: Sepet, Gubra, Puaka Tebing Biru, Mukhsin, Mualaf dan 1957
Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM Ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM Ke-19
Sinopsis:
ROHANI berumur 20 tahun dan adiknya Rohana pula 14 tahun dari keluarga kaya sama-sama melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap ayah mereka yang suka marah dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Sikap kasar dan kejam ayah mereka meninggalkan kesan trauma kepada kedua-dua beradik ini.
Ketika berada di sebuah pekan kecil, mereka bertemu seorang guru bernama Robert Ng, berumur 30-an dan penganut Katolik. Entah kenapa, kedua-dua beradik ini sering bertelagah pendapat apabila bertemu dengan Robert sehingga mendorong guru itu untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.
Walaupun sering ‘bertengkar’, mereka kemudiannya menjalin hubungan persahabatan. Perbezaan pandangan ini membuatkan Robert teringat dengan masalah yang dihadapinya semasa kecil ketika dia hendak menjadi mualaf.
Pertemuan itu juga membuatkan mereka bertukar-tukar pendapat bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang terbuku di hati, menghargai persahabatan, membuka pintu kemaafan dan menjadikan pengalaman lalu sebagai teladan.