Filem Tamil pertama miliki runut bunyi
FILEM Tamil tempatan Naana Neeya yang akan muncul di pawagam pada Julai menjadi filem Tamil pertama yang mempunyai soundtrack.
Soundtrack yang dikeluarkan Cresendo Productions itu baru saja dipasarkan pada 30 Mei lalu dan dijangka menembusi pasaran luar negara antaranya Singapura, India, Australia dan Jepun.
Soundtrack Naana Neeya memuatkan sebanyak lapan lagu dan dua minus one. Lagu Naana Neeya iaitu tajuk filem itu sendiri yang bermaksud Kamu dan Aku itu dinyanyikan dalam tiga versi iaitu Tamil, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Album ini menampilkan sebanyak enam penyanyi iaitu MC Loga yang mempunyai kumpulan diberi nama Hyperkinetix, Vizz Da Blizz, G-Tha, DJ Hazel, Phat Babu dan pengarah filem itu sendiri Dharmavathi.
Menurut Dharmavathi, Naana Neeya adalah filem pertama Tamil yang menghasilkan soundtrack. Lagu yang termuat di dalam album ini mendapat sentuhan komposer tempatan dan berkonsepkan moden.
“Lagu yang dipilih adalah lagu moden yang sesuai dengan pendengar masa kini. Album ini juga sesuai untuk remaja kerana turut memuatkan unsur muzik hip hop. Khidmat komposer tempatan yang digunakan ternyata berjaya menghasilkan album yang bagus.
“Komposer tempatan juga sebenarnya memiliki hasil kerja yang memberangsangkan. Malah daripada perhatian kami, mereka yang banyak menceduk muzik kita untuk album ciptaan mereka,” kata Dharmavathi.
Menariknya, album ini membariskan penyanyi daripada pelbagai lapisan umur. Penyanyi paling muda ialah Vizz Da Blizz anak kepada Dharmavathi yang baru berusia 12 tahun. Vizz menyanyikan sebanyak empat lagu dalam album ini iaitu lagu utama filem itu sendiri Naana Neeya termasuk Inggeris dan Melayu duet bersama MC Loga dan Sollavey Yille.
Vizz yang bakal muncul dengan album solo tidak lama lagi memulakan langkah dalam dunia nyanyian sejak berusia tiga tahun. Menurut Vizz, dia gembira kerana diberi peluang menyumbangkan suara di dalam album berkenaan kerana ia adalah langkah pengenalan sebelum pergi jauh dalam dunia nyanyian.
“Pembabitan saya dalam album ini memberi pendedahan lebih luas kepada saya dalam dunia nyanyian. Saya terbabit dalam album ini atas galakan keluarga yang kebetulan memiliki syarikat rakaman. Ibu saya yang mahukan supaya saya merakamkan lagu rap dan saya seronok kerana diberi peluang ini,” kata penuntut Sekolah Beaconhouse Sri Inai.
Seorang lagi penyanyi muda dalam album ini, G-Tha pula tidak menyangka menyanyi secara suka di majlis perkahwinan abangnya kira-kira dua tahun lalu membuka ruang kepadanya dalam dunia nyanyian.