Azean Irdawaty disah hidap barah payudara
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Azean Irdawaty (gambar) yang kini popular dengan filem Waris Jari Hantu, disahkan mengidap kanser payudara selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah pusat perubatan swasta di sini, Rabu lalu.
Beliau yang turut membintangi drama bersiri popular Datin Diaries, kemudian mengambil keputusan membuat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bagaimanapun, doktor pakar yang ditemuinya memberitahu bahawa keadaan penyakit yang dihadapinya yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yan agak serius dan mencadangkannya menjalani pembedahan secepat mungkin.
“Doktor pakar yang Kak Yan temui memberitahu, tidak boleh tunggu lagi. Bagaimanapun, Kak Yan hanya boleh tahu tahap serius penyakit ini Isnin ini (esok),” katanya yang ditemubual Buletin Utama, semalam.
Beliau berkata, pakar bedah HKL yang ditemuinya juga menjelaskan keadaan penyakit yang dihadapinya itu ‘nampak tidak bagus’ dan perlu pembedahan segera.
Namun, beliau meminta rakan seperjuangan serta peminatnya tidak bersedih kerana kesedihan tidak dapat membantu dan membawa sebarang perubahan terhadap penyakit yang dihidapinya.
“Saya mempunyai satu permintaan kepada kawan dan peminat.....doakanlah semoga saya cepat sembuh dan boleh berlakon lebih banyak lagi filem dan drama,” katanya.