Detik gemilang The Lima(Gang starz)
Kehadiran Mas Idayu berjaya warnai persembahan tiga anak muda dari Indonesia
LAUNGAN Allahuakbar sebanyak tiga kali dilaungkan Bony Adam, 25, salah seorang anggota kumpulan The Lima apabila mereka diangkat sebagai juara Gang Starz yang pertama.
Keputusan diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan, secara bertulis di atas cek digital yang dipaparkan di skrin LCD di belakang pentas. Tidak percaya dan terlalu gembira dengan keputusan itu, Bony langsung sujud di atas pentas.
BANGGA: Dari kiri Arif,
Bony dan Taura bersama
piala yang dimenangi.
Selain Bony, kemenangan The Lima yang turut dianggotai C Taufani Rahadian (Taura), 23, dan Arif Topan Sanjaya (Arif), 21, bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Lebih-lebih lagi keputusan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diumumkan setiap kali dua kumpulan selesai membuat persembahan, sudah memberi bayangan awal gelaran juara menjadi milik The Lima.
Dengan gelaran juara yang disandang itu, The Lima menggondol hadiah lumayan seperti yang dijanjikan TV3 iaitu wang tunai bernilai AS$100,000 (RM 340,00), trofi serta kontrak rakaman bersama KRU Music Group (KMG).
Mengikuti perkembangan mereka saban minggu, persembahan yang ditonjolkan The Lima pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam Ahad yang lalu sebenarnya tidak begitu banyak keistimewaan. Namun, kehadiran Mas Idayu yang berduet bersama mereka berjaya mewarnai persembahan The Lima pada set kedua.
Sebaliknya persembahan rakan senegara mereka Mendua lebih menyerlah pada minggu-minggu terakhir, cuma mungkin nasib tidak berpihak kepada kumpulan yang dianggotai dua wanita dan seorang lelaki itu.
Mendua yang dianggotai Pungky, Shasha dan Diana nyata menyerlah pada set pertama yang dipersembahkan secara duet bersama Faizal OIAM menerusi lagu Isabella dan Mahakarya Cinta. Tetapi agak mengecewakan ketika penampilan solo.
Persembahan solo mereka dengan lagu Cinta, Jika , Ku Bahagia dan Let’s Dance Together mengundang kritikan juri terutamanya Sheikh Haikal.
“Mendua, tidak saya sangka saya akan mengatakan ini. Persembahan agak normal, sangat biasa, saya tidak sangka kamu akan melakukan ini. Jangan sesekali sampaikan lagu terakhir kamu itu lagi,” katanya.
Menemui Pengarah Muzik terkemuka Indonesia, Erwin Gutawa yang diundang sebagai juri jemputan sejurus konsert selesai, beliau menyifatkan nyanyian Mendua yang terlalu teknikal menyebabkan kumpulan itu sukar untuk memenangi hati pengundi.
Mengulas kemenangan The Lima pula, beliau menyifatkan kumpulan itu sememangnya layak diangkat sebagai juara kerana persembahan mereka secara solo dan duet hampir tidak ada kesalahan. Selain cara nyanyian yang tidak terlalu teknikal menyebabkan mereka mudah diterima penonton.
Dalam konsert akhir itu, The Lima memungut lima bintang daripada ke semua lima juri iaitu tiga juri tetap, Vernon Kedit, Maple Loo dan Arab serta daripada dua juri undangan Erwin Gutawa dan penyanyi dan komposer Singapura, Sheikh Haikal pada set kedua mengatasi tiga lagi kumpulan Mendua, Flava dan Infinatez.
Persembahan secara duet yang menampilkan artis undangan, mungkin boleh disifatkan sebagai penyeri dan penyelamat kepada setiap kumpulan berbanding persembahan secara solo. Selain Mas Idayu yang menyelamatkan The Lima, kehadiran Faizal OIAM duet bersama Mendua, Jay Jay bersama Flava dan Nurul bersama Infinatez berjaya menghidupkan konsert.
Persembahan peserta dari Malaysia, Flava dan Infinatez pada konsert akhir itu tidak mengecewakan. Penampilan Jay Jay duet bersama mereka menerusi tiga lagu Rindu Bayangan, Dendangan Laguku dan Joget Angan Tak Sudah berjaya mengembalikan tenaga kumpulan yang dianggotai Afiq, Faroxx, Edd, Shadenz dan Asyraf.
Walaupun kecundang, Flava tetap berpuas hati apabila layak menempatkan diri ke final memandangkan mereka bermula daripada kosong.
“Ini semua rezeki daripada Tuhan, sudah tidak ada rezeki kami di sini. Kami percaya mungkin Tuhan menjanjikan rezeki kami di tempat lain. Namun kami tetap berpuas hati dan menganggap kami sudah menang kerana berjaya menempatkan diri ke final,” kata Shadenz.
Bagi kumpulan Infinatez pula, mereka sangat berterima kasih kepada pihak TV3 kerana memberi peluang untuk mereka berkarya.
“Kami akui The Lima memang layak menjadi juara. Bagi kami, pengalaman yang ditimba selama 17 minggu ini sangat berharga dan bererti. Ini bukan titik noktah kepada kerjaya kami sebaliknya kami akan terus berkarya lagi,” kata Andy mewakili Infinatez yang turut dianggotai Rafiq, Shah Hans, Daneal dan Alvin.
Selain The Lima yang akan bernaung di bawah KMG, berapa kumpulan lain juga mungkin akan dipertimbangkan bernaung di bawah KMG.
Mengulas mengenai pemilihan KMG, Pengurus Hiburan Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata, kewibawaan KMG menyebabkan TV3 memilih syarikat berkenaan untuk menguruskan pemenang Gang Starz walaupun sebelum ini ada beberapa nama syarikat yang dirasakan sesuai.
“Kami sebenarnya cuba mengenal pasti pihak yang boleh membawa pemenang ke satu tahap yang lain. Kami mengambil kira pengalaman tetapi apa yang kami dapati KMG serasi dan dapat memberi impak kepada TV3,” katanya pada sidang media sejurus konsert berakhir.
Sementara itu, Norman berkata, pihaknya akan merancang pelbagai perkara untuk artis baru yang bakal bernaung di bawah syarikatnya. Selain itu, rekod baik yang ditonjolkan KMG dalam menguruskan artis berkumpulan seperti Elite, Pretty Ugly, Indigo dan sebagainya sudah cukup menunjukkan kredibiliti mereka untuk menguruskan The Lima.